![]() ![]() ![]() ![]() |
![]() Monday, August 1, 2011 | 7:08 PM |
![]() Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati. "Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya. ''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat. ''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga. Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup. Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai. Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya. Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu. Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan. Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga. "Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain. Betul juga ya? Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini. Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam. Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki! ![]() | 7:05 PM |
![]()
Wahai saudaraku, ketahuilah olehmu bahawa tangisan yang jatuh ke bumi kerana takutkan Allah membawa makna bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang beriman kepada Allah sebagaimana firman Allah S.W.T. "Dan takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman" (Surah Al-Imran : 175) Wahai saudara yang kukasihi, menangis kerana Allah akan mengangkat martabat diri hingga termasuk dalam golongan penghuni syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Bahkan darjat juga akan ditinggikan oleh Allah selaras dengan janji-Nya yang berbunyi : "Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga" (Surah Ar-Rahman : 46) Seorang Khalifah yang agung dimuka bumi Allah ini tidak pernah asing dengan tangis dan hiba saat meratapi akan segala dosanya kepada Al-Ghafur. Lihat sahaja mereka yang dekat dengan Tuhan sekalian alam seperti kekasih Allah, Rasulullah S.A.W, para sahabat R.A, para tabi'in dan tabi'tabi'in , semuanya bercucuran air mata kerana takutnya mereka kepada Allah. Rasulullah S.A.W sendiri menangis kerana takutkan Allah. Seorang Nabi dan kekasih Allah yang dijanjikan syurga dan maksum. Pernah suatu ketika sedang Rasulullah S.A.W duduk bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya kearah sekumpulan manusia seraya bersabda " Apakah yang sedang mereka lakukan?". Salah seorang dari sahabat menjawab, "Mereka sedang menggali kubur untuk mengebumikan seorang yang telah meninggal dunia." Sebaik mendengar jawapan itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para sahabatnya. Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat dihadapan Baginda Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. Mereka melihat Rasulullah S.A.W menangis sehingga air mata menitis ke pipinya kemudian berkata kepada sahabat, "Wahai saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa seperti hari ini (kematian)."Bagitulah ketakutan Kekasih Allah yang mulia. Bagaimanakah dengan kita sebagai umatnya? Menangis kerana takutkan Allah akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab Allah yang pedih, menempatkan kita didalam syurgaNya dan menikmati segala kenikmatan yang tidak dapat dibayang oleh akal fikiran. Ubay bin Ka'ab berkata, "Kalian harus memegang ajaran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Bukan termasuk orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringat seksaan Allah, namun dia tidak menitiskan air mata kerana takut kepada seksaNya. Maka orang seperti ini akan bersama-sama api neraka untuk selama-lamanya". Orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringatkan Allah, maka pasti akan ketakutan dan bergetar jantungnya kerana takut pada siksaan Al-Muntaqim. Dosa-dosa orang seperti ini akan berguguran seperti mana gugurnya daun-daun dari pohon yang ditiup angin. Hisablah diri kita sejenak, bermuhasabahlah dan berfikirlah perihal kehidupan di negeri yang kekal abadi. Adakah kita pernah menangisi dosa-dosa kita? Bilakah kali terakhir pipi dibasahI dengan linangan air mata keinsafan? Hanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala sesuatu perbuatan. Moga dikurniakan Allah dengan perasaan ketakutan terhadap dosa. Menangislah, Wahai Saudaraku... |